"Wahai manusia dengarlah baik-baik apa yang
hendak ku katakan !!! Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan
kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini
dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari
ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini
dan kota ini sebagai suci maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim
sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada
pemiliknya yang berhak.
Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak
menyakiti kamu pula. Ingatlah bahwa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu
dan Dia pasti akan membuat perhitungan atas segala amalan kamu. Allah telah
mengharamkan riba', oleh itu segala urusan yang melibatkan riba' hendaklah
dibatalkan mulai sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama
kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar
maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara
kecil.
Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas
para isteri kamu, mereka juga mempunyai atas kamu. Sekiranya mereka
menyempurnakan mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan
dan pakaian dalam suasana kasih sayang.
Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik! dan berlemah
lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu
kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak
boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang
melakukan zina.
Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh
kata-kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari,
berpuasalah di Bulan Ramadhan, tunaikanlah zakat dan harta kekayaan kamu dan
kerjakanlah ibadah haji sekiranya mampu.
Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada
Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak ada seorangpun yang lebih mulia
dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan amal soleh.
Ingatlah bahawa kamu akan mengadap Allah pada suatu
hari untuk dipertanggungjawabkan atas segala apa yang telah kamu lakukan. Oleh
itu, awasilah tindak-tanduk kamu agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari
landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang
akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia,
nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu.
Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara
yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu
tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku ini
menyampaikannya pula kepada orang lain dan hendaklah orang yang lain itu
menyampaikannya pula kepada orang lain dan begitu seterusnya.
Semoga orang yang terakhir yang menerimanya lebih
memahami kata-kataku ini dari mereka yang mendengar terus dariku. Saksikanlah Ya
Allah, bahawasanya aku telah sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba- Mu.
"
Tidak ada komentar:
Posting Komentar